Semporna
Sebuah pekan kecil di Pantai Timur Sabah yang namanya berasal dari perkataan ‘Simporna’ (bermaksud lokasi untuk berehat atau tempat yang tenang). Gelaran tersebut telah diberikan oleh seorang Gabenor Inggeris; W.M Crocker dan beberapa orang rakannya ketika penemuan daerah ini sekitar tahun 1887. Sebelum itu, daerah ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘Tong Talun’; iaitu perkataan dari bahasa bajau yang bermaksud ‘Hujung Hutan’.
Tempat-Tempat Menarik di Semporna
Taman Marin Tun Sakaran
Taman Marin Tun Sakaran atau Tun Sakaran Marine Park (TSMP) terletak di pintu masuk Teluk Darvel, di pinggir pantai Timur Sabah berhampiran pekan Semporna, mengambil masa sekitar 45 minit dengan menaiki bot laju. Telah diwartakan pada bulan Julai 2004 sebagai taman ketujuh Sabah. Taman ini adalah Taman Laut terbesar dan meliputi 340 kilometer persegi laut dan terumbu karang dan 10 kilometer persegi daratan.
Objektif utamanya adalah untuk melindungi persekitarannya serta pemuliharaan sumber asli. Secara geologi, pulau-pulau terbentuk dari bahan piroklastik quaternary, yang dikeluarkan oleh aktiviti gunung berapi meletup pada suatu ketika dahulu sehingga terbentuknya Pulau Bodgaya, Bohey Dulang, Tetagan, Selakan, Sebangkat, Maiga, Sibuan dan Mantabuan. TSMP adalah salah satu tempat kegemaran para penyelam dan terdapat juga bukit yang menarik untuk aktiviti memanjat tebing.
Dari kajian ilmiah yang dilakukan oleh Dr. Elizabeth Wood selama lebih dari 20 tahun, didapati bahawa kekayaan hidupan laut di TMTS setara dengan kehidupan laut ‘Great Barrier Reefs’ di Australia.
