Pemantauan Kebersihan Bazar Ramadan
Bahagian Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Semporna telah melaksanakan pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan Tongtalun sebagai langkah proaktif bagi memastikan persekitaran jualan berada dalam keadaan bersih, selamat dan teratur sepanjang bulan Ramadan.
Pemantauan ini memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting, termasuk tahap kebersihan gerai dan kawasan sekitarnya, kaedah pengendalian makanan oleh peniaga, serta penyimpanan bahan mentah dan makanan siap dimasak. Pegawai turut memeriksa penggunaan pakaian pelindung diri seperti apron, sarung tangan dan penutup kepala bagi mengelakkan pencemaran makanan.
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada penyediaan tong sampah bertutup dan pengurusan sisa pepejal yang sistematik bagi memastikan kawasan bazar sentiasa bersih dan bebas daripada bau serta kehadiran serangga perosak. Status suntikan tifoid dan sijil latihan pengendali makanan juga diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kesihatan yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama, pegawai kesihatan memberikan nasihat dan teguran secara berhemah kepada peniaga agar sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan premis. Pemantauan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan untuk melindungi kesihatan pengguna serta mengekalkan imej bazar Ramadan yang bersih dan selamat di daerah Semporna.