Taklimat Pengendali Makanan
Bahagian Pelesenan dan Bahagian Kesihatan Majlis Daerah Semporna telah menganjurkan satu Taklimat Pengendalian dan Keselamatan Makanan khusus kepada para peniaga makanan di sekitar daerah ini.
Program yang diadakan di Dewan Sipadan Majlis Daerah Semporna itu bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan pematuhan syarat pelesenan serta amalan kebersihan makanan yang selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.
Dalam sesi taklimat tersebut, pegawai Bahagian Kesihatan menekankan aspek kebersihan diri pengendali makanan, keperluan menghadiri kursus pengendalian makanan, suntikan tifoid, serta kaedah penyimpanan makanan yang betul bagi mengelakkan pencemaran silang dan risiko keracunan makanan.
Manakala Bahagian Pelesenan turut memberi penjelasan berkaitan prosedur permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan, syarat-syarat pematuhan premis, serta tindakan yang boleh dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.
Sesi soal jawab yang berlangsung pada akhir program memberi peluang kepada para peniaga untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu-isu operasi dan pematuhan undang-undang. Pihak majlis berharap taklimat ini dapat meningkatkan tahap kesedaran dan komitmen peniaga dalam memastikan makanan yang dijual adalah bersih, selamat dan berkualiti.